Thursday, February 25, 2010

Nahi Mungkar bukan Nahi Makruf - gara gara forum di Musolla Ar Raudhah Beserah.


1. Insyaallah pada 27 hb. Feb 2010 [ sabtu ] jam 8.40 malam akan dilangsungkan satu Forum Ad Deen yang bertajuk [ Perlaksanaan Syariah di Malaysia : Cabaran , Halangan dan Kesungguhan ] , bertempat di Musolla Ar Raudhah Perkampungan Pelindung Perdana Beserah Kuantan Pahang . Untuk teks seterus nya sila klik tajuk @ readmore. 

 
2. Sehingga hari ini saya mendapat tekanan dari pelbagai pihak supaya forum tersebut dibatalkan namun alasan kenapa forum itu mesti dibatalkan , saya sendiri tidak jelas . Semata - mata kerana salah seorang panel forum tersebut ialah al Fadhil Dr Asri Zainal Abidin [ bekas Mufti Perlis ] maka ia mesti dibatalkan ! [ Panel yang lain ialah : Dr Azhar Yaacob Pensyarah kanan UTM dan saya sendiri mewakili Musolla Ar Raudhah ]

3. Saya juga sangat kesal apabila dimaklumkan bahawa tekanan tersebut turut datang dari pihak mufti negeri Pahang sendiri . Sedang forum ini adalah majlis ilmu yang dianjurkan oleh Musolla Ar Raudhah dengan kesepakatan seluruh ahli jawatankuasanya . Saat masyarakat dahagakan ilmu dan kejahilan pula sangat berleluasa , kenapa harus majlis forum seperti ini mendapat tekanan , lebih malang tekanan itu datang dari pihak mufti yang sepatutnya merekalah yang menaungi aktiviti - aktiviti agama dalam negeri ini .

4. Forum adalah majlis ilmu yang diformatkan secara terbuka dan berlansung dalam bentuk dua hala dengan kita membawa panel - panel yang berwibawa disamping moderator yang baik iaitu sdr Fadzli Ramli seorang Lawyer muda yang sedang meningkat naik di negeri Pahang hari ini .

5. Saya sendiri tidak faham kenapa Dr Asri Zainal Abidin tidak dibenarkan ? sedang beliau adalah seorang yang berkelayakan dalam bidang agama untuk menyampaikan pandangan dan ilmu beliau . Ijazah kedoktoran yang diberikan oleh pihak university adalah satu pengiktirafan terhadap ilmu beliau sementara belum ada juga satu pun penyata yang digazetkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan atau lainnya yang menyatakan Dr Asri adalah pembawa ajaran sesat yang tidak dibenarkan mengajar atau memberi ilmu di mana - mana tempat di dalam negara ini .

6. Kita bukan berada di dalam negara komunis atau sosialis yang menghalang ilmu Islam dikembangkan . Alangkah baik jika pihak Mufti negeri Pahang mengarahkan seluruh penguatkuasa agama negeri Pahang membuat rondaan dan mengambil tindakan ke atas pelaku - pelaku maksiat dan mungkar yang sangat berleluasa di bandar Kuantan . Sarang pelacuran dan Mak Nyah boleh beroperasi secara terbuka di bandar Kuantan tanpa sebarang tindakan yang berkesan oleh pihak berkuasa agama negeri . Kenapa ini di diamkan ? Kenapa masjid surau yang mahu menganjurkan majlis Ilmu pula mendapat tekanan dari pihak Mufti ? sungguh ini adalah suatu yang sangat mengecewakan . Apakah hari ini kelab - kelab malam dan sarang - sarang Mak Nyah itu lebih selamat berbanding majlis ilmu di pahang ?

7. Ada yang mengemukakan alasan kerana Dr Asri adalah wahabi . Ini satu lagi malapetaka yang menimpa ummat Islam . Terlalu suka dan cepat melabel kemudian terus menolak tanpa asas ilmu dan hujjah yang kuat . Dr Asri sendiri berkali kali menafikan , bahawa beliau bukanlah seorang wahabi dan beliau bersedia untuk berhujjah dan berbincang secara ilmiah bagi menegaskan pendirian beliau dalam isu - isu agama termasuk persoalan aqidah .

8. Persoalannya , apakah kerana isu wahabi maka tindakan mahu diambil dan saya difahamkan bahawa pihak mereka akan bertindak untuk menangkap saya dan Dr Asri pada hari berlangsungnya forum nanti . Kenapa tidak mengambil pendekatan berbincang dan berdialog secara ilmiah ? saya sendiri tidak pernah dipanggil untuk berbincang . Malah forum ad Deen yang kita anjurkan ini adalah majlis dua hala sebagai satu wacana dan dialog mengenai perlaksanaan syariah di Malaysia .

9. Jika saya atau Dr Asri salah dan tidak betul dalam memberi kenyataan dan ilmu , maka pada hari itu , siapa jua boleh tampil untuk memberi hujjah dan kenyataannya . Saya mahu wujudkan suasana ilmu dikalangan masyarakat . Kita tangani sesuatu berasaskan ilmu dan hujjah . Berkali - kali saya tegaskan kepada ahli jamaah di Musollah ar Raudhah bahawa saya mahu jadikan Musolla Ar Raudhah ini sebagai Universiti Islam Terbuka [ UIT ] . Kita mengundang tokoh - tokoh ilmuan Islam untuk memberi ilmu , berwacana , forum dan dialog bagi membuka pemikiran ummat Islam dan sekaligus menegakkan kebenaran dan memerangi kebathilan .

10. Saya menyeru agar semua hadhir dan dengar sendiri penjelasan , kenyataan dan hujjah ahli panel . Jika ada yang tidak betul , saudara diberi peluang untuk berhujjah . malah suka saya sebutkan , jika ada perkara yang tidak benar atau tidak betul , saya sendiri akan bangkit membetulkannya . Tapi biarlah dengan ilmu dan hujjah bukan dengan gari dan cota .

11. Sebelum ini pun , banyak perkara yang saya berbeza pandangan dengan Dr Asri Zainal Abidin . Samaada sebelum mahupun selepas beliau menjadi mufti kerajaan Perlis . Tetapi biarlah perbezaan itu diuruskan dengan ilmu dan hujjah bukan dengan kekerasan . Sebab ini hanya berkait dengan perbedaan aliran pemikiran bukan jenayah .

12. Tindakan menangkap dan mengungut ini adalah satu tindakan yang tidak bertamaddun dan tidak bijak . Malah bertentangan dengan disiplin ilmu Islam yang mengutamakan ilmu dan hujjah .

-by Nasrudin Hassan at Tantawi

1 comments:

  • rez_shee says:
    March 2, 2010 at 2:01 PM

    kekecewaan terus menusuk di hati jemaah dan hadhirin yang ribuan datang untuk mendengar hujah bersifat intelektual yang dirosakan oleh JAIP. Kegagalan Dr Asri yang merupakan panel kehormat untuk berhujah menenggelamkan topik utama perbahasan. Ini adalah angkara Jaip di atas arahan Mufti Pahang. Pada saya apakah kezaliman yang lebih besar melainkan menghalang manusia berkata mengenai islam. Allah telah mengutuskan ribuan nabi dan ratusan rasul a.s. samada yang kita ketahui dan tidak kita ketahui semuanya dengan satu tujuan untuk mengajak umat manusia kepada islam. Sekiranya kelompok yang bergelumang dengan kejahilan melakukannya, itu adalah lazim. Tetapi jika pihak berkuasa agama, ini adalah janggal. Ketaatan kepada pemimpin selepas nabi s.a.w bukanlah mutlak. Taat kepada ketua di atas perkara derhaka kepada allah adalah syirik akbar. Bukan soal jawatan atau cari makan. Saya dimaklumkan pada petang itu oleh pegawai Jaip sekiranya Dr Asri pegang sahaja mikrofon akan terus ditangkap. Alasan melalui surat mufti yang diarahkan kepada Jaip adalah pandangan kontroversi Dr Asri terhadap Islam. Apa dia kontroversi yang dimaksudkan? Jaip pun tiada jawapan untuk berhujah dengan pengajur.Hanya melaksanakan tugas sebagai pak turut. Saya tidak diperjelaskan suatu alasan yang ada fakta atau ada rasionalnya. Carian dibuat di Jaip, juga di Majlis Fatwa Kebangsaan, tiada satu pekeliling pun atau peraturan yang dikuatkuasakan oleh pihak pihak berwajib untuk menghalang Dr Asri dari bercakap soal agama. Saya telah memaklumkan kepada Jaip, ini adalah forum, medan berhujah bukan ruang mengajar ilmu. Walaupun Jaip memahami program ilmu yang dinaungi oleh malaikat allah yang merahmati taman-taman syurga ini tetapi sifat taksub taat kepada arahan menyebabkan sebahagian syaitan-syaitan bergembira melihat agen-agen yang berjaya menembusi taman-taman syurga Allah pada malam itu. Kelmarin sekitar jam enam petang saya sempat menghubungi Yh dato mufti melalui talian telefon. Saya melahirkan kekecewaan saya dan hadhirin di atas tindakan Jaip dan Dato Mufti yang memberi alasan sewaktu beliau menjadi timbalan mufti dulu beliau pernah ternampak atau terpandang ada arahan dari pihak berkuasa negeri melarang Dr Asri masuk ke negeri Pahang. Bagi saya kalau terdapat larangan bergerak yang terhad ini sudah pastilah pihak polis melaksanakan tugas itu. Saya juga maklum bahawa Dr Asri belum pernah disabitkan oleh mana-mana mahkamah syariah diatas kesalahan jenayah syariah atau pun jenayah civil. Sekiranya larangan ini diteruskan maka ianya adalah satu fitnah kepada Dr Asri. Mengeluarkan tuduhan berasaskan persepsi ini adalah nafsu. Janganlah hendaknya membaling batu sembunyi tangan. Di hadapan Allah nanti anggota akan menjadi saksi. Wallahualam.

    - by Pengerusi Musolla Ar-Raudhah.

Post a Comment